16 September menjelang sudah. DS Anwar Ibrahim berjanji kerajaan Pakatan Rakyat akan dibentuk pada tarikh ini. Hari ini. Katanya, sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen BN berjaya dipujuk untuk melompat parti.
Macam-macam yang berlaku sepanjang masa menunggu tarikh hari ini. 16 september. Namun, apakah apa yang dirancang beliau. Apa yang dijanjikan oleh beliau akan terlaksana?
Dengan penuh yakin beliau mengatakannya Ya!
Malaysiakini menyiarkan laporan dengan tajuk: Anwar Mahu Jumpa PM Isu Tukar Kerajaan.
Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku dalam tempoh sehari ini. 16 September!
Kalau pertukaran kerajaan tidak berlaku hari ini atau dalam tempoh terdekat, tidak banyak yang akan berlaku. Banyak benda yang kita akan jangka. Apa yang ada sebelum ini, itulah yang akan kita hadapi selepas ini.
Namun, bagaimana jika pertukaran kerajaan benar-benar berlaku?
Apa jangkauan-jangkauan yang ada dalam benak kepala anda semua?
Ah! Sukar dibayangkan. Bimbang juga jika ia tidak seindah apa yang kita angan-angankan. Angan-angan itu sering lebih indah dari realiti.
Tuhan! Selamatkanlah Malaysiaku.....
Petikan Malaysiakini.com:
Anwar Mahu Jumpa PM Isu Tukar KerajaanPakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya esok atau lusa.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".
Bercakap di depan lebih 10,000 penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam ini, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.
"Petang tadi, (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.
"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."
Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."
"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.
"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk lebih 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.
"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.
"Esok kita akan umumkan pendirian kita."
Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama, sambil menempelak tentang hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.
"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.
"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.
"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam ini.
Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.
"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.
"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.
http://malaysiakini.com/news/89778
No comments:
Post a Comment